Showing posts with label Tanaman Herba. Show all posts
Showing posts with label Tanaman Herba. Show all posts

Sunday, March 21, 2010

Pokok Bunga Tanjung



Pokok tanjung berasal dari kepulauan Indo-China dan mempunyai taburan semula jadi di India, Sri Lanka, Myanmar, Thailand dan Malaysia.
Nama saintifiknya Mimusops Elengi dan tergolong dalam keluarga sapotaceac, pokok tanjung merupakan tumbuhan liar yang tumbuh di tepi pantai, kawasan berbatu dan dalam hutan. Pokoknya boleh mencapai ketinggian sekitar 3 meter dan boleh menghasilkan batang atau kayu balak sepanjang 15 hingga 20 meter. Pokok tanjung menghasilkan banir yang sangat kecil atau besar sehingga 2 meter tinggi.
Daun pokok tanjung jenis ringkas, susunan bersilang-seli dan bahagian tepi daun beralun-alun dan bengkok ke atas. Daunnya licin dan berkilat. Bunganya pula ada jenis dwijantina. Bunganya berwarna putih dan bercampur kuning. Bunganya ini dihasilkan secara tunggal atau dalam jambak kecil.


Bunga Tanjung yang berjambak


Buahnya jenis beri berbentuk bujur telur. Sebelum matang, buahnya berwarna hijau. Buah ini akan bertukar kepada warna oren dan merah setelah masak. Apabila matang, buahnya rasa manis dan mempunyai kandungan astringen. Astringen bertindak sebagai agen yang mengcutkan tisu dan protein pada kulit dan lendir. Bunga pokok tanjung mengandungi minyak mudah meruap manakala bijinya mengandungi minyak tidak meruap. Kulit pokoknya banyak mengandungi tanin dan sedikit alkaloid. Pokoknya pula mengandungi saponin.


Buah Tanjung

Kuatkan gigi dan gusi Bahagian kulit batang, daun dan bunga adalah bahagian yang banyak digunakan serta mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri. Kulit pokok tanjung dikatakan mempunyai pelbagai kegunaan. Jika direbus, kulit pokok ini boleh digunakan sebagai air pencuci mulut. Ia mampu menguatkan gigi dan gusi serta merawat sakit kerongkong. Bukan itu sahaja, ramuan ini juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah nafas berbau.

Jika kulit pokok tanjung dijadikan serbuk pula, ramuan ini boleh digosok atau diurut pada sendi yang sakit akibat reumatisme. Kulit pokok tanjung ini juga boleh dijadikan sebagai ubat pupuk bagi merawat masalah jerawat, gatal-gatal dan pelbagai penyakit kulit. Kulit pokok tanjung yang direbus bersama dengan kulit pokok asam jawa dikatakan boleh digunakan sebagai ubat sapu bagi penyakit kulit. Air rebusan kulit batang pokok juga boleh digunakan untuk mencuci luka.

Air rebusan kulit pokok atau bunga boleh diminum terutamanya untuk merawat demam panas dan cirit-birit. Kulit dan buah pokok tanjung yang belum masak boleh dijadikan losen untuk merawat ulser. Biji pokok tanjung yang telah ditumbuk lumat pula boleh ditelan bersama air untuk merawat cirit-birit.

Redakan sakit kepala

Daun pokok tanjung boleh ditumbuk lumat atau direbus sebelum dijadikan sebagai ubat pupuk untuk merawat sakit kepala. Jika anda mengalami masalah sakit hidung dijangkiti ulser, bolehlah menggunakan daun pokok tanjung yang telah ditumbuk serta dicampur dengan sedikit jintan hitam yang kemudiannya dijadikan ubat pupuk.

Daun pokok tanjung juga boleh dibakar dan asapnya kemudiannya dihidu untuk merawat ulser di hidung, asma dan pelbagai masalah hidung dan mulut. Pucuk daunnya boleh dibuat ulam bagi mengecutkan rahim dan mengetatkan peranakan wanita.


Bukan setakat untuk tujuan perubatan, pokok tanjung juga boleh digunakan untuk tujuan lain. Bunganya boleh direndam dalam minyak kelapa. Ramuan ini boleh dilumurkan ke rambut dan hasilnya mampu mewangikan rambut. Minyak biji pokok tanjung pula dikatakan boleh digunakan untuk memasak atau minyak pelita.

Ringkasan kegunaan : 1. Merawat ruam bernanah – Beberapa kuntum bunga tanjung direbus bersama 2 sudu besar Jintan Hitam. Air rebusan diembun semalaman. Air ditapis dan dimandikan pesakit dengan air tersebut. 2. Merawat sakit gigi dan boleh menghilangkan nafas berbau. Kulit batang pokok direbus bersama air dan dibuat kumur selama empat hari.
3. Merawat luka – Air rebusan kulit batang pokok digunakan untuk mencuci luka.

4. Merawat ozena atau rhinitis – Jus daun bunga tanjung dijadikan ubat titis hidung dua kali sehari dan dilakukan sehingga sembuh.


5. Mewangikan rambut – Biasanya bunga tanjung direndam ke dalam minyak kelapa dan dilumur ke rambut. 6. Pucuk daunnya boleh dibuat ulam bagi
mengecutkan rahim dan mengetatkan peranakan wanita

Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan dan kegunaan lain pokok tanjung, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari.
Sumber : MisteriAlam dan Bunga Tanjung

Capaian entry berkaitan :
  1. Pokok Serunai Laut
  2. Mulberry buah pelbagai guna
  3. Antara khasiat dan mudarat tongkat ali
  4. Plum bantu kurangkan berat badan
  5. Khasiat bunga cempaka
  6. Buah kiwi lindungi tubuh daripada radikal bebas
  7. Perihal Batu Serai dan Serai Wangi
  8. Buah lemon kurangkan lebihan asid
  9. Ajisai - Bunga Tiga Bulan - Hydrangea
  10. Cekur - Ulam selepas bersalin
  11. Anggur di Malaysia?

Thursday, August 27, 2009

LENGKUAS PADI

Lengkuas Padi - Buang Angin






- nama saintifiknya Alpinia conchigera

- daripada keluarga Zingiberacea




- lengkuas padi juga dikenali sebagai lengkuas helang dan lengkuas ranting.







Rizom atau ubi lengkuas digunakan sebagai ramuan memasak rendang atau lauk gorengan. Dengan menghiris atau menumbuk lumat kemudian dicampurkan kedalam masakan dapat menambahkan selera dan memberi aroma kepada masakan tersebut.







Terdapat dua jenis lengkuas yang selalu digunakan oleh masyarakat di sini. Yang berakar putih selalu digunakan untuk masakan manakala yang berakar merah untuk tujuan perubatan.









Batangnya terdiri daripada susunan pelepah yang bulat panjang, pangkalnya hanya terdapat pelepah manakala bahagian atas lengkap dengan helaian daun.






Umbi dan akarnya berserat kasar dengan aroma yang harum.

Lengkuas mengandungi minyak alpinen, kamfer, methyl-cinnamate.

Lengkuas berkhasiat sebagai antikulat, antibakteria, menghangatkan, membersihkan darah,menambahkan nafsu makan, mencairkan kahak, mengharumkan peluh dan merangsangkan otot.

Selain dari itu ia juga berfungsi untuk mengubati panau, kesakitan waktu haid, ubat untuk penyakit kulit, bengkak limpa dan menguatkan otot yang lama tidak digerakkan.






Selain turut mempunyai khasiat seperti lengkuas makan, lengkuas padi selalu digunakan untuk mengubati demam, panas badan, lenguh-lenguh, sakit sendi dan membuang angin badan.






Untuk demam panas, daun lengkuas padi diramas-ramas dengan beras dan air di dalam bekas. Kemudian air tersebut dilapkan pada badan terutama bahagian sendi dan diamalkan hingga sembuh. Manakala untuk sakit tulang, angin seluruh badan, lenguh-lenguh serta sakit sendi, keseluruhan daun, batang serta ubinya digunakan,dengan cara menumbuknya sehingga lumat dan dilumurkan keseluruh badan. Cara yang sama juga boleh digunakan oleh ibu-ibu lepas bersalin, ditampal di perut sebelum diikat dengan bengkung atau barut bertujuan membuang angin dalam badan, sekaligus mengecutkan perut.




LIMAU PURUT

Limau Purut - Mencantikkan Kulit




- nama saintifiknya Citrus hystrix

- dari keluarga Rutaceae





Limau purut sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita. Ia seperti pokok limau biasa kecuali daunnya beranak dan buahnya mengerutu dengan rasa masam dan pahit.

Bagi masyarakat di Malaysia, daun limau purut menjadi pilihan sebagai ramuan atau perisa masakan seperti tomyam, laksa, asam pedas maupun rendang.

Buahnya pula antara bahan utama yang digunakan dalam upacara berubat, mandi bunga dan mandi wap untuk menyegarkan badan.






Dalam teknologi moden, limau purut digunakan sebagai aroma terapi dan minyak wangi. Selain dari kegunaan tersebut limau purut boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan, rawatan untuk sakit kulit, menghilangkan lemah dan letih.


Ia juga boleh digunakan sebagai pencuci rambut dan kulit kepala berkerak di samping mengatasi masalah kulit bersisik.








Untuk mendapatkan kesegaran selepas kepenatan, ambil 2 gengam daun limau purut dan rebus untuk jadikan air mandian. Mandian dengan air ini dapat memberi kepuasan dan kesegaran dan badan kembali bermaya.




Bagi kulit kepala berkerak pula, ambil buah limau dan dipotong dua kemudian gosokkan di kepala. Ini akan menyebabkan rasa pedih sedikit. Biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Kaedah yang sama boleh digunakan untuk kulit yang bersisik , lakukan semasa mandi, kemudian bilas .



HALIA

HALIA - KURANGKAN KOLESTEROL





Halia


- nama saintifiknya Zingiber officinale dari keluarga Zingiberaceae.

- kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63 mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori), selain protein, karbihidrat, gentian, vitamin C dan niasin.







Halia dikatakan di tanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari sana.




Ia juga disifatkan sebagai penawar serba boleh. Masyarakat China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu.


Mereka menggunakan halia untuk mengatasi masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki yang berpunca dari gangguan atau masalah pengaliran darah.







Selain dari itu halia juga berfungsi untuk mengurangkan dan mengawal kolesterol dalam darah. Salah satu dari punca penyakit jantung adalah penyempitan saluran darah yang berpunca dari pemendakan kolesterol.


Kolesterol menyebabkan pengumpulan lemak pada pembuluh darah. Kesannya menyebabkan pembuluh darah menjadi sempit dan aliran darah terganggu, ini yang menyebabkan seseorang itu terkena serangan jantung. Kolesterol adalah suatu bahan seperti lemak (sterol) yang terdapat dalam darah dan kebanyakkan tisu darah.


Untuk mengurangkan kolesterol beberapa ketul halia direbus untuk mendapatkan patinya. Bagi penyediaan pati halia, air rebusan tadi di biarkan hingga pekat.


Ambil 2 atau 3 sudu dari pati halia tersebut kemudian dicampurkan dengan sedikit gula batu dan secawan air panas. Minum air tersebut sekali sehari dan amalkan setiap hari.




Cara yang sama juga amat berkesan untuk mengurangkan batuk dan membuang angin dari badan.


Halia tua yang ditumbuk lumat boleh digunakan untuk mengubati bisa gigitan binatang seperti lipan, lebah dan lain lain lagi.


Halia yang dilumatkan itu boleh juga dilumur (ditampal) di belakang leher bagi mengurangkan sakit kepala, dan bagi mengubati gatal-gatal tekak, hiris halia dan kunyah sambil menghisap airnya sebelum membuang hampasnya.