Thursday, August 27, 2009

DAUN KELEDEK

Keledek


- nama saintifiknya Ipomoea batatas
- dari keluarga Convolvulaceae
- dikenali juga dengan nama ubi jalar, ubi gadung dan gadung jalar.










Terdapat banyak kegunaan keledek terutama dalam penghasilan berbagai jenis kuih muih dan masakan. Boleh juga digunakan untuk masakan seperti gulai lemak putih bersama daun pucuk manis atau daun asin-asin.





Daun dan getah keledek juga boleh digunakan untuk mengubati penyakit seperti demam panas, sakit perut, luka, bisul dan kulit melecur.





Untuk demam panas daun keledek diramas-ramas dalam air hingga hancur dan dilapkan ke seluruh badan terutama di sendi-sendi dan diulangi beberapa kali.

Untuk sakit perut pulak, layurkan daun keledek di atas api dan disapu dengan minyak masak. Sebelum daun tersebut sejuk, sejurus ia di layurkan dan disapu minyak terus tekapkan pada perut.





Untuk luka, bisul atau kulit melecur gunakan seperti cara pertama tadi atau ramas-ramaskan hingga hancur kemudian letakkan di tempat yang sakit tadi dan balut, biarkan beberapa jam. Jika ia dilayurkan tampalkan pada tempat yang sakit kira-kira 10 minit.






Getah keledek boleh digunakan iaitu dengan cara menitiknya pada tempat yang terkena ulser atau seriawan mulut untuk mengubatinya.



LENGKUAS PADI

Lengkuas Padi - Buang Angin






- nama saintifiknya Alpinia conchigera

- daripada keluarga Zingiberacea




- lengkuas padi juga dikenali sebagai lengkuas helang dan lengkuas ranting.







Rizom atau ubi lengkuas digunakan sebagai ramuan memasak rendang atau lauk gorengan. Dengan menghiris atau menumbuk lumat kemudian dicampurkan kedalam masakan dapat menambahkan selera dan memberi aroma kepada masakan tersebut.







Terdapat dua jenis lengkuas yang selalu digunakan oleh masyarakat di sini. Yang berakar putih selalu digunakan untuk masakan manakala yang berakar merah untuk tujuan perubatan.









Batangnya terdiri daripada susunan pelepah yang bulat panjang, pangkalnya hanya terdapat pelepah manakala bahagian atas lengkap dengan helaian daun.






Umbi dan akarnya berserat kasar dengan aroma yang harum.

Lengkuas mengandungi minyak alpinen, kamfer, methyl-cinnamate.

Lengkuas berkhasiat sebagai antikulat, antibakteria, menghangatkan, membersihkan darah,menambahkan nafsu makan, mencairkan kahak, mengharumkan peluh dan merangsangkan otot.

Selain dari itu ia juga berfungsi untuk mengubati panau, kesakitan waktu haid, ubat untuk penyakit kulit, bengkak limpa dan menguatkan otot yang lama tidak digerakkan.






Selain turut mempunyai khasiat seperti lengkuas makan, lengkuas padi selalu digunakan untuk mengubati demam, panas badan, lenguh-lenguh, sakit sendi dan membuang angin badan.






Untuk demam panas, daun lengkuas padi diramas-ramas dengan beras dan air di dalam bekas. Kemudian air tersebut dilapkan pada badan terutama bahagian sendi dan diamalkan hingga sembuh. Manakala untuk sakit tulang, angin seluruh badan, lenguh-lenguh serta sakit sendi, keseluruhan daun, batang serta ubinya digunakan,dengan cara menumbuknya sehingga lumat dan dilumurkan keseluruh badan. Cara yang sama juga boleh digunakan oleh ibu-ibu lepas bersalin, ditampal di perut sebelum diikat dengan bengkung atau barut bertujuan membuang angin dalam badan, sekaligus mengecutkan perut.




PUCUK BETIK



Pucuk Betik - Ubati Migrain.


- nama saintifiknya Carica papaya L
- dari keluarga Caricaceae yang mengandungi pelbagai zat.
- bagi setiap 100g betik , ia mengandungi
59.0 kalori untuk pembekalan tenaga,
92.1g air,
1.0g protein,
0.1g lemak,
13.5g karbohidrat,
0.5g serat,
0.5g abu,
31.0mg kalsium
0.8mg magnesium
17.0mg posporus
1.0mg zat besi
2.0mg sodium
337.0mg potasium

- ia juga mengandungi vitamin B sebanyak 0.08mg,
vitamin B2 (0.12mg)
niasin (0.1mg
vitamin C (69.3mg)
karotin (2431ug)



Pucuk betik atau daun muda selalunya direbus dan dijadikan ulam. Ianya mempunyai banyak khasiat antaranya merendahkan tahap kolesterol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan sakit migrain di samping boleh melangsingkan badan.







Ia mempunyai rasa yang agak pahit. Untuk mengubat penyakit di atas adalah dengan memakan pucuknya yang direbus ataupun meminum satu atau dua gelas air rebusannya.



Bunga betik selalunya terdapat pada betik jantan boleh juga direbus dan dibuat kerabu.


Daun betik yang dilayur di atas api dapat mengubati sakit-sakit otot apabila dilekapkan pada bahagian yang sakit. Bagi mengubati sakit sendi pula, meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis boleh membantu.






Biji betik pula boleh digunakan untuk menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit pada kanak-kanak. Caranya ialah dengan mengambil segengam biji betik dan tumbuk hingga hancur kemudian direbus dan diminum oleh kanak-kanak tersebut. tapi awas....tidak sesuai untuk wanita yang mengandung.






Getah daripada daun, buah atau batang berguna untuk mengubati kaki yang pecah-pecah dan cara menyapu getahnya pada tempat berkenaan. Getah betik juga berguna bagi melegakan kesakitan gigi yang berlubang dengan cara menitikkan getah pada lubang gigi tersebut atau boleh juga menggunakan kapas.


Daun betik yang ditumbuk lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit garam dan kemudian dilekapkan pada tempat yang luka dan dibalut dapat menghentikan pendarahan.





Walau apapun kelebihan memakan buah betik untuk kesihatan memang tidak dapat dinafikan. Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan disamping menghaluskan kulit dan mampu menjadikan wajah sentiasa awet muda.



LIMAU PURUT

Limau Purut - Mencantikkan Kulit




- nama saintifiknya Citrus hystrix

- dari keluarga Rutaceae





Limau purut sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita. Ia seperti pokok limau biasa kecuali daunnya beranak dan buahnya mengerutu dengan rasa masam dan pahit.

Bagi masyarakat di Malaysia, daun limau purut menjadi pilihan sebagai ramuan atau perisa masakan seperti tomyam, laksa, asam pedas maupun rendang.

Buahnya pula antara bahan utama yang digunakan dalam upacara berubat, mandi bunga dan mandi wap untuk menyegarkan badan.






Dalam teknologi moden, limau purut digunakan sebagai aroma terapi dan minyak wangi. Selain dari kegunaan tersebut limau purut boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan, rawatan untuk sakit kulit, menghilangkan lemah dan letih.


Ia juga boleh digunakan sebagai pencuci rambut dan kulit kepala berkerak di samping mengatasi masalah kulit bersisik.








Untuk mendapatkan kesegaran selepas kepenatan, ambil 2 gengam daun limau purut dan rebus untuk jadikan air mandian. Mandian dengan air ini dapat memberi kepuasan dan kesegaran dan badan kembali bermaya.




Bagi kulit kepala berkerak pula, ambil buah limau dan dipotong dua kemudian gosokkan di kepala. Ini akan menyebabkan rasa pedih sedikit. Biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Kaedah yang sama boleh digunakan untuk kulit yang bersisik , lakukan semasa mandi, kemudian bilas .



HALIA

HALIA - KURANGKAN KOLESTEROL





Halia


- nama saintifiknya Zingiber officinale dari keluarga Zingiberaceae.

- kaya dengan kandungan kalium (125 miligram), fosforus (63 mg) dan kalsium tenaga (52 kilokalori), selain protein, karbihidrat, gentian, vitamin C dan niasin.







Halia dikatakan di tanam di China sejak berkurun-kurun lamanya. Malah tanaman itu dikatakan berkemungkinan berasal dari sana.




Ia juga disifatkan sebagai penawar serba boleh. Masyarakat China dipercayai telah menggunakan halia dalam amalan perubatan sejak 2,500 tahun lalu.


Mereka menggunakan halia untuk mengatasi masalah kesejukan anggota badan terutama di bahagian tangan dan kaki yang berpunca dari gangguan atau masalah pengaliran darah.







Selain dari itu halia juga berfungsi untuk mengurangkan dan mengawal kolesterol dalam darah. Salah satu dari punca penyakit jantung adalah penyempitan saluran darah yang berpunca dari pemendakan kolesterol.


Kolesterol menyebabkan pengumpulan lemak pada pembuluh darah. Kesannya menyebabkan pembuluh darah menjadi sempit dan aliran darah terganggu, ini yang menyebabkan seseorang itu terkena serangan jantung. Kolesterol adalah suatu bahan seperti lemak (sterol) yang terdapat dalam darah dan kebanyakkan tisu darah.


Untuk mengurangkan kolesterol beberapa ketul halia direbus untuk mendapatkan patinya. Bagi penyediaan pati halia, air rebusan tadi di biarkan hingga pekat.


Ambil 2 atau 3 sudu dari pati halia tersebut kemudian dicampurkan dengan sedikit gula batu dan secawan air panas. Minum air tersebut sekali sehari dan amalkan setiap hari.




Cara yang sama juga amat berkesan untuk mengurangkan batuk dan membuang angin dari badan.


Halia tua yang ditumbuk lumat boleh digunakan untuk mengubati bisa gigitan binatang seperti lipan, lebah dan lain lain lagi.


Halia yang dilumatkan itu boleh juga dilumur (ditampal) di belakang leher bagi mengurangkan sakit kepala, dan bagi mengubati gatal-gatal tekak, hiris halia dan kunyah sambil menghisap airnya sebelum membuang hampasnya.